12:19 PM

Nasib Ibu Tunggal Terbela

ARKIB : 18/01/2010

Nasib ibu tunggal terbela


Kini nasib isteri yang tidak mendapat nafkah daripada suami bakal berubah apabila kerajaan memperuntukkan RM15 juta sebagai modal pusingan.


PERJALANAN hidup wanita yang berstatus ibu tunggal memang penuh pancaroba. Mereka bukan sahaja diuji keupayaan menguruskan keluarga bersendirian malahan perlu bersedia fizikal dan mental untuk berhadapan dengan masyarakat.

Sudah menjadi satu kelaziman, golongan ini sering ditimpa masalah selepas berlaku penceraian seperti tidak mendapat nafkah daripada bekas suami atau ditinggalkan begitu sahaja tanpa apa-apa berita.
Demi sesuap nasi untuk anak-anak yang telah diamanahkan oleh-Nya, golongan ini sanggup berjuang memerah keringat demi masa depan anak-anak supaya hidup lebih terjamin.

Malah ada yang sanggup berniaga kecil-kecilan demi mencari nafkah untuk anak-anak.
Namun baru-baru ini, ada perkhabaran yang lebih baik untuk golongan ini, apabila kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah.
Peruntukan itu bertujuan untuk membantu isteri-isteri yang dalam proses penceraian dan tidak mendapat nafkah daripada suami.

Bantuan ini atas dasar pinjaman awal sebagai modal pusingan bagi membiayai perbelanjaan harian sementara menunggu kes penceraian diputuskan oleh mahkamah dan nafkah dibayar.
Pengerusi Ibu Tunggal Wilayah Persekutuan, Syarifah Kamariah Syed Ibrahim yang menyokong pemberian itu memberitahu, terdapat segelintir suami hanya sekadar menabur janji tetapi mereka tidak mengotakannya.

Perkara ini membuat golongan ibu tunggal teraniaya, malah anak-anak akan menjadi mangsa kepada penceraian ibu bapa mereka. Bagi isteri yang tidak mempunyai punca pendapatan, maka terputuslah perbelanjaan kehidupan dan merananya anak-anak yang masih kecil.
''Sepatutnya apabila sudah bercerai dengan isteri, tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak-anak masih tidak terhenti dan nafkah perlu diberi. Janganlah apabila bantuan ini telah diberi, maka suami akan lepas tangan dalam pemberian nafkah. Ini kerana bantuan itu adalah sementara,'' ujarnya yang menerajui Pertubuhan Bukan Kerajaan ini lebih daripada 20 tahun.

Tambahnya, kerajaan juga harus menubuhkan satu organisasi bagi menguruskan penyerahan bantuan tersebut secara adil kepada golongan yang tertindas ini.
Sementara itu, Normah Ishak,52, adalah contoh ibu tunggal yang perkasa menongkah arus kehidupan.
Wanita ini ditinggalkan suaminya selepas mendapat tahu suaminya curang dan bermain kayu tiga bersama wanita lain.

''Saya ditinggalkan oleh suami tanpa sebarang nafkah dan juga berita mengenai,'' ujarnya serius.
Bagaimanapun dia berharap, melalui bantuan yang diperuntukkan ia dapat meringankan beban yang ditanggung selama ini.

Dia yang ditinggalkan oleh suaminya kerana ingin mengahwini wanita lain memberitahu, perjalanan sebagai ibu tunggal adalah terlalu sukar tambahan ketika itu anak-anak masih kecil.
''Pada awal perceraian, saya hanya menangis dan mencari kesilapan apa yang membuatkan suami sanggup berbuat sedemikian,'' ujarnya yang memegang status ibu tunggal sejak 10 tahun lalu.
Menceritakan kisah dukanya, dia memberitahu, suaminya meninggalkan dia anak beranak tanpa berita dan juga nafkah.

''Memang pada awal saya ada mencari dan selepas mendapat tahu dia ingin berkahwin lain, betapa hancurnya hati saya
''Bayangkan masa itu anak-anak kecil lagi dan saya terpaksa membuat pelbagai kerja demi anak-anak,'' ujar ibu kepada lima anak ini.
Malah akuinya, musim perayaan dan sesi pembukaan persekolahan sering membuat hatinya bimbang memandangkan sukar untuk menyediakan persediaan kepada anak-anak.
''Tetapi alhamdullilah , ramai yang memberi bantuan termasuk ibu dan adik-beradik yang lain,'' katanya yang tinggal menumpang di rumah orang tuanya di Gombak Setia.
Tambahnya lagi, pernah satu tahun dia tidak mampu membeli pakaian baru untuk persediaan hari raya kerana tiada duit.

Kini biarpun 10 tahun bergelar ibu tunggal, dia bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang cemerlang dalam pendidikan.
Sementara itu, rakannya Azizah Abdul Hamid pula memberitahu, dia sudah tidak mengharapkan nafkah daripada bekas suaminya.
''Saya selesa dengan kehidupan saya tanpa mengharapkan nafkah daripada bekas suami.
''Daripada mengharapkan duit bekas suami, lebih baik saya usahakan sendiri,'' katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menceritakan kisahnya pula wanita cekal ini mengakui dia sedikit tertekan selepas mendapat tahu suaminya terlibat dengan penagihan dadah.
Malah akuinya, dia pernah pergi menjamin suaminya semasa ditahan di lokap.
Namun kesanggupan dirinya untuk melihat suaminya berubah itu dibayar dengan kecurangan suaminya.
''Saya ingat bila kita tolong dia dan dia akan berubah menjadi baik tetapi ini lain pula apabila dia menduakan saya,'' ujarnya mengenangkan kisah sedih.

Kini mendapat bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300 sebulan membuatkan dia semakin tenang dengan kehidupannya bersama tiga anak hasil perkongsian dengan bekas suaminya.
''Biarpun bergelar ibu tunggal namun hati saya tenang dan gembira di samping anak-anak,'' ujarnya yang baru mendapat sijil pemandu pelancong daripada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Sementara itu, bagi Norazua Ibrahim, pula menyokong pendapat tersebut yang lebih selesa dengan kehidupan sekarang.

Katanya, dia pernah meminta bekas suaminya nafkah untuk anak-anak namun tidak dipeduli.
''Lebih baik kita lupakan sahaja, tumpukan pada anak-anak lagipun masih mampu untuk menjaganya sendiri.
"Harapan saya, dengan bantuan yang diberi oleh kerajaan itu boleh mengubah kehidupan ibu-ibu tunggal yang teraniaya termasuklah saya,'' katanya.
Ujarnya, pemberian modal itu sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban meneruskan kehidupan seharian yang semakin meningkat.
"Mungkin ibu-ibu tunggal boleh menggunakan bantuan itu bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan,'' katanya.


sumber - utusan

0 comments: