12:27 AM

PERIGI MENCARI TIMBA

Mengapa bila wanita saja yang memulakan bicara suka terhadap seseorang lelaki dikatakan perigi mencari timba? saya sangat tidak berpuas hati dengan perumpamaan tersebut. Sekarang ni, nisbah lelaki baik dengan wanita yang baik menjadi semakin sedikit lelaki berbanding wanita. Jadi, kenapa tunggu?

Saya mempunyai seorang kawan dulu yang mana sangat menyukai seorang lelaki. Sudah tentu lelaki tersebut memenuhi semua kriteria yang dia mahukan ditambah dengan bijak dan berkerjaya baik di bandar KL. Si wanita tidak segan silu memberikan hint-hint kepada si lelaki....walaupun telah beberapa kali ditolak sehingga sanggup menurunkan berat bada sehingga 20 kilo semata-mata untuk memenangi hati lelaki tersebut. Akhirnya si lelaki menyerah kalah dan akur yang wanita itu adalah jodohnya. Dan kini bahagia dengan anak yang berderet-deret. 

Begitulah wanita sekarang. Bukan seperti wanita dulu yang menunggu lelaki meminang, tapi kini memandangkan agak sukar mencari lelaki bertanggungjawab, jadi tak salah lah sekiranya wanita memulakan langkah pertama.

Tapi segala-galanya terpulanglah kepada wanita. Jangan sampai menyiksa diri semata-mata lelaki yang tak sedar diri. Yang paling penting sayangilah diri sendiri sebelum orang lain menyayangi kita. Jangan la sampai merendahkan martabat kaum wanita.

Saya percaya ramai lelaki diluar sana yang menunggu wanita memulakan langkah pertama. jadi walau apapun saya ucapkan selamat maju jaya dan akhir kata, "best girl win"...

9:57 AM

Wanita paling mudah masuk syurga....

Selamat menjalani ibadah puasa bagi semua kaum hawa didunia...khususnya yang memahami bahasa Melayu.... he he

Dalam bulan penuh barakah ini, saya amat yakin bahawa ibu lah yang paling sibuk. bermula dengan menyiapkan makanan bersahur seawal 4.30 pagi, pergi menghantar anak ke sekolah atau pengasuh, bekerja dengan penuh dedikasi sama ada dirumah atau ditempat kerja sambil memikirkan juadah apa yang hendak disediakan untuk berbuka, waktu rehat pergi ke pasaraya atau kedai runcit mencari bahan untuk masakan dan balik rumah selepas waktu pejabat dan memasak.

Siap memasak, tibalah waktu berbuka puasa. Anak-anak dan suami berkumpul di meja makan dan berbukalah bersama-sama. Si ibu hanya sempat meneguk air kosong. Sibuk melayan anak dan suami makan, anak meragam, dan macam-macam lagi. Penat kan?

Sambil melayan anak-anak tu, sempat jugak lah mengunyah makanan dalam mulut mengisi perut lapar. Anak-anak dan suami dah kenyang dan terus buat hal masing-masing. boleh juga minta tolong suami cuci pinggan atau uruskan anak, sebab sekarang giliran kita pula nak makan dengan sempurna. Habis makan kene mengemas pula. Solat maghrib jangan lupa pula.


Semenjak berkahwin, memang saya tak ke masjid lagi untuk menunaikan sunat terawih. Kadang-kadang saya dapat buat dirumah sahaja. Tapi, kalau suami dah ke masjid, nanti siapalah yang nak tengok anak-anak bermain diluar bilik. Tapi sempat juga membaca Al-quran dan terjemahannya sambil melihat anak bermain.

Jam 10 malam, waktu untuk tidur. Jangan lupa kunci jam sebab esok akan bermula lagi rutin hidup yang sama.

Tapi yakinlah, tu semua adalah pahala. lakukan dengan keikhlasan dan penuh tanggungjawab. Jaga solat, Al-quran dan zikir...insyaallah... Jangan lupa tanggungjawab pada suami. Percayalah bahawa wanita paling mudah masuk syurga.

8:53 AM

Susu Ibu Tidak Dihargai



Segelintir pula terutama di kalangan ibu muda merasa malu untuk memberikan anak mereka susu badan lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah



Susu ibu, anugerah dari Tuhan untuk anak yang mempunyai pelbagai khasiat. Ia diperlukan bagi melengkapkan tumbesaran seseorang bayi.
Setakat Julai ini, rekod budaya penyusuan ibu mencatatkan hanya 14 peratus bagi kaum ibu di Wilayah Persekutuan memberikan susu badan kepada bayi mereka dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran.
Walaupun rekod itu sedikit meningkat berbanding hanya 12 peratus pada 2007, 2008 dan 2009 di negeri sama, namun ia masih belum membanggakan.
Lebih tepat, statistik itu menyedihkan seolah-olah kebanyakan ibu tidak menghargai anugerah Tuhan itu kepada kaum ibu terutama ibu muda zaman ini.
Justeru, sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia pada 1 hingga 7 Ogos ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu Malaysia (PPPIM), akan membantu memupuk kesedaran dan pengetahuan di kalangan ibu yang mempunyai bayi supaya aktif memberikan susu badan.
Misinya untuk menggalakkan budaya penyusuan badan supaya ia mampu melahirkan generasi lebih sihat pada masa depan.
Seorang ahli PPPIM yang juga bekas Ketua Jururawat Hospital Pusrawi, Marjinah Badli berkata, pada zaman moden ini, budaya memberi susu badan kepada bayi sering 'dipandang sebelah mata' di kalangan ibu yang baru melahirkan anak.
Katanya, hasil kajian yang dijalankan PPPIM menunjukkan kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan atau kelebihan susu ibu adalah faktor utama mengapa seseorang tidak aktif memberikan susu badan.
Marjinah berkata, ada yang enggan memberikan susu badan kerana tidak tahan dengan cabaran seperti rasa sakit apabila menyusukan bayi dan tiada masa akibat terlalu sibuk menjalankan rutin seharian.
"Segelintirnya pula terutama di kalangan ibu muda merasa malu untuk memberikan anak mereka susu badan lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah.
"Kebanyakan klinik swasta, tempat kelahiran bayi, akan memberi promosi susu tepung bayi secara percuma untuk tempoh tiga hingga enam bulan.
"Semua ini menyebabkan ibu lebih selesa dan tertarik untuk memberikan susu tepung kepada bayi mereka walaupun susu ibu adalah imunisasi pertama paling penting yang seharusnya diterima tubuh bayi selepas dilahirkan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Marjinah, bagi menggalakkan penyusuan badan, PPPIM pada tahun ini menggunakan pendekatan baru dengan memberikan khidmat nasihat dalam soal menyebarkan maklumat mengenainya.
Jelasnya, pada tahun sebelum ini, PPPIM sering menganjurkan acara di beberapa kawasan sasaran seperti di Putrajaya untuk menghebahkan maklumat berhubung kebaikan penyusuan badan kepada masyarakat.
Pendekatan PPPIM pada tahun ini adalah menghantar ahlinya yang terlatih untuk menyertai acara yang dianjurkan pusat perubatan dan hospital kerajaan serta swasta bagi mendidik pegawai perubatan di situ mengenai soal penyusuan badan.
"Didikan kami termasuk kepentingan susu ibu, cara betul menyusu serta faedah kepada ibu dan anak.
"Ada pakar dan doktor perubatan yang mengemukakan banyak persoalan kepada kami mengenai kebaikan sebenar penyusuan ibu kerana selama ini mereka tidak mengetahuinya.
"Harapan kami, dengan usaha yang kami jalankan tahun ini, ilmu itu dapat dikongsi bersama ibu yang melahirkan anak sekali gus menggalakkan lebih ramai yang aktif memberi susu badan," katanya.
Selain itu, Marjinah menasihatkan kaum ibu yang mempunyai bayi untuk turut bersama-sama menjayakan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia bagi menggalakkan budaya berkenaan dalam masyarakat negara ini.
"Bagi saya, dengan segala kemudahan dan kelengkapan termasuk sudut penyusuan ibu di pusat membeli-belah, pam susu badan serta baju khas untuk ibu menyusukan badan yang ada ketika ini, tiada alasan kepada seseorang untuk tidak memberikan susu badan kepada bayi mereka," ujarnya.