12:19 PM

Nasib Ibu Tunggal Terbela

ARKIB : 18/01/2010

Nasib ibu tunggal terbela


Kini nasib isteri yang tidak mendapat nafkah daripada suami bakal berubah apabila kerajaan memperuntukkan RM15 juta sebagai modal pusingan.


PERJALANAN hidup wanita yang berstatus ibu tunggal memang penuh pancaroba. Mereka bukan sahaja diuji keupayaan menguruskan keluarga bersendirian malahan perlu bersedia fizikal dan mental untuk berhadapan dengan masyarakat.

Sudah menjadi satu kelaziman, golongan ini sering ditimpa masalah selepas berlaku penceraian seperti tidak mendapat nafkah daripada bekas suami atau ditinggalkan begitu sahaja tanpa apa-apa berita.
Demi sesuap nasi untuk anak-anak yang telah diamanahkan oleh-Nya, golongan ini sanggup berjuang memerah keringat demi masa depan anak-anak supaya hidup lebih terjamin.

Malah ada yang sanggup berniaga kecil-kecilan demi mencari nafkah untuk anak-anak.
Namun baru-baru ini, ada perkhabaran yang lebih baik untuk golongan ini, apabila kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah.
Peruntukan itu bertujuan untuk membantu isteri-isteri yang dalam proses penceraian dan tidak mendapat nafkah daripada suami.

Bantuan ini atas dasar pinjaman awal sebagai modal pusingan bagi membiayai perbelanjaan harian sementara menunggu kes penceraian diputuskan oleh mahkamah dan nafkah dibayar.
Pengerusi Ibu Tunggal Wilayah Persekutuan, Syarifah Kamariah Syed Ibrahim yang menyokong pemberian itu memberitahu, terdapat segelintir suami hanya sekadar menabur janji tetapi mereka tidak mengotakannya.

Perkara ini membuat golongan ibu tunggal teraniaya, malah anak-anak akan menjadi mangsa kepada penceraian ibu bapa mereka. Bagi isteri yang tidak mempunyai punca pendapatan, maka terputuslah perbelanjaan kehidupan dan merananya anak-anak yang masih kecil.
''Sepatutnya apabila sudah bercerai dengan isteri, tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak-anak masih tidak terhenti dan nafkah perlu diberi. Janganlah apabila bantuan ini telah diberi, maka suami akan lepas tangan dalam pemberian nafkah. Ini kerana bantuan itu adalah sementara,'' ujarnya yang menerajui Pertubuhan Bukan Kerajaan ini lebih daripada 20 tahun.

Tambahnya, kerajaan juga harus menubuhkan satu organisasi bagi menguruskan penyerahan bantuan tersebut secara adil kepada golongan yang tertindas ini.
Sementara itu, Normah Ishak,52, adalah contoh ibu tunggal yang perkasa menongkah arus kehidupan.
Wanita ini ditinggalkan suaminya selepas mendapat tahu suaminya curang dan bermain kayu tiga bersama wanita lain.

''Saya ditinggalkan oleh suami tanpa sebarang nafkah dan juga berita mengenai,'' ujarnya serius.
Bagaimanapun dia berharap, melalui bantuan yang diperuntukkan ia dapat meringankan beban yang ditanggung selama ini.

Dia yang ditinggalkan oleh suaminya kerana ingin mengahwini wanita lain memberitahu, perjalanan sebagai ibu tunggal adalah terlalu sukar tambahan ketika itu anak-anak masih kecil.
''Pada awal perceraian, saya hanya menangis dan mencari kesilapan apa yang membuatkan suami sanggup berbuat sedemikian,'' ujarnya yang memegang status ibu tunggal sejak 10 tahun lalu.
Menceritakan kisah dukanya, dia memberitahu, suaminya meninggalkan dia anak beranak tanpa berita dan juga nafkah.

''Memang pada awal saya ada mencari dan selepas mendapat tahu dia ingin berkahwin lain, betapa hancurnya hati saya
''Bayangkan masa itu anak-anak kecil lagi dan saya terpaksa membuat pelbagai kerja demi anak-anak,'' ujar ibu kepada lima anak ini.
Malah akuinya, musim perayaan dan sesi pembukaan persekolahan sering membuat hatinya bimbang memandangkan sukar untuk menyediakan persediaan kepada anak-anak.
''Tetapi alhamdullilah , ramai yang memberi bantuan termasuk ibu dan adik-beradik yang lain,'' katanya yang tinggal menumpang di rumah orang tuanya di Gombak Setia.
Tambahnya lagi, pernah satu tahun dia tidak mampu membeli pakaian baru untuk persediaan hari raya kerana tiada duit.

Kini biarpun 10 tahun bergelar ibu tunggal, dia bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang cemerlang dalam pendidikan.
Sementara itu, rakannya Azizah Abdul Hamid pula memberitahu, dia sudah tidak mengharapkan nafkah daripada bekas suaminya.
''Saya selesa dengan kehidupan saya tanpa mengharapkan nafkah daripada bekas suami.
''Daripada mengharapkan duit bekas suami, lebih baik saya usahakan sendiri,'' katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menceritakan kisahnya pula wanita cekal ini mengakui dia sedikit tertekan selepas mendapat tahu suaminya terlibat dengan penagihan dadah.
Malah akuinya, dia pernah pergi menjamin suaminya semasa ditahan di lokap.
Namun kesanggupan dirinya untuk melihat suaminya berubah itu dibayar dengan kecurangan suaminya.
''Saya ingat bila kita tolong dia dan dia akan berubah menjadi baik tetapi ini lain pula apabila dia menduakan saya,'' ujarnya mengenangkan kisah sedih.

Kini mendapat bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300 sebulan membuatkan dia semakin tenang dengan kehidupannya bersama tiga anak hasil perkongsian dengan bekas suaminya.
''Biarpun bergelar ibu tunggal namun hati saya tenang dan gembira di samping anak-anak,'' ujarnya yang baru mendapat sijil pemandu pelancong daripada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Sementara itu, bagi Norazua Ibrahim, pula menyokong pendapat tersebut yang lebih selesa dengan kehidupan sekarang.

Katanya, dia pernah meminta bekas suaminya nafkah untuk anak-anak namun tidak dipeduli.
''Lebih baik kita lupakan sahaja, tumpukan pada anak-anak lagipun masih mampu untuk menjaganya sendiri.
"Harapan saya, dengan bantuan yang diberi oleh kerajaan itu boleh mengubah kehidupan ibu-ibu tunggal yang teraniaya termasuklah saya,'' katanya.
Ujarnya, pemberian modal itu sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban meneruskan kehidupan seharian yang semakin meningkat.
"Mungkin ibu-ibu tunggal boleh menggunakan bantuan itu bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan,'' katanya.


sumber - utusan

8:34 AM

Burberry Weekend Eu De Parfum



Burberry Weekend Eau De Parfum Spray - 50ml/1.7oz inilah EDP pertama yang aku pernah miliki. Abang Amer belikan dari Golden Boutique MAS, KLIA. Masa tu ada sale. Tapi tak ingat harganya, yang pasti lebih dari RM100.

Sebelum ni cuma pakai minyak wangi biasa aje sebab rasa sayang duit nak beli perfume sampai ratus ringgit. Tapi masa tu Abang Amer belikan, sebab dia kata bau dia wangi. So i pakai lah......

Tahan lama juga dalam setahun aku pakai perfume ni. Bau dia memang best tapi bagi aku bau ni adalah biasa dan common tapi segar dan memang jelas. Maksudnya kalau kita pakai sikit pun baunya dah menyerlah. Bau bunga yang kuat dan segar. Sesuai untuk ladies yang bukan urban tapi ala-ala perempuan melayu terakhir lah.....

Setakat yang aku pernah pakai perfume ni, aku rasa perfume nilah yang paling menarik hati aku. dan aku pasti akan beli lagi perfume ni nanti.....

8:59 AM

Suami suka isteri orang

ARKIB : 10/01/2010


BERUMAH tangga tak semuanya membawa kebahagiaan, tak tidak semestinya menderita, semuanya terpulang kepada nasib seseorang itu, ada kalanya macam sabut, timbul, ada juga macam batu, tenggelam. Demikianlah dengan kehidupan yang saya lalui.

‘‘Pelbagai usaha saya lakukan demi mempertahankan perkahwinan saya, malangnya semuanya tidak menjadi. Nak kata saya ego rasanya tidak, lebih banyak mengalah, tetapi itulah nasib. Setelah puas menderita talak juga yang saya dapat,’’ demikian cerita Norshahreen dalam e-melnya.

‘‘Benar apa yang berlalu tidak boleh dikesalkan kerana kita sudah ditakdirkan, namun hati ini semakin dipendam semakin parah, nak cerita dengan kawan mereka tak faham, mencurah perasaan pada keluarga kita disalahkan, akhirnya untuk mententeramkan hati yang terguris ini saya lepaskan kepada pembaca DCCK paling tidak jiwa saya tenteram.

‘‘Kalau diingat memang pedih untuk bercerita, tetapi saya mencari kelegaan di hati, biarlah luka lama berdarah kembali, asalkan hati saya boleh tenang walaupun dengan menulis dalam e-mel ini. Ketenangan inilah yang saya cari.

‘‘Kami berkenalan ketika sama-sama menuntut di U, melalui saya Hafiq mengenali ramai kawan-kawan perempuan saya, tetapi semuanya tak sangkut, tak berkenan dihatinya katanya tak sesuai. Akhirnya dia pilih saya. Ketika itu kami sama-sama berusia 23 tahun, tak sampai setahun berkawan secara serius kami berkahwin.

‘‘Kerana baru bekerja kami memang tak berduit, Alhamdulillah kerana keluarga saya pun berduit, maka urusan kenduri kahwin tak jadi masalah. Boleh dikatakan saya mendapat banyak bantuan emak. Mak juga bagi kami sebuah kereta untuk kemudahan kami berulang alik ke tempat kerja. Begitu sayangnya emak kepada kami.

‘‘Lepas kahwin baru saya tahu siapa Hafiq sebenarnya, dia bukan setakat pemarah, panas baran, malah kakitangan pun cepat. Untuk mengelakkan aksi pukul memukul, saya bersikap mendiam diri setiap kali dia hangin, tapi dia marah juga sebab saya diam, dia kata saya melawan dia dalam diam.

‘‘Sifat buruknya yang paling jelas apa juga katanya tak boleh dibantah, dia mahu saya ikut saja, bila keputusan yang dibuatnya salah, kita juga kena marah, kerana tak ikut betul-betul apa kehendaknya. Sedangkan saya tahu perbuatannya salah, nak tegur tak boleh takut kena tangan.
membimbing

‘‘Dulu katanya dia pilih saya sebagai isteri kerana saya rajin solat, dia kurang jadi dia harap saya boleh membimbing dia dunia dan akhirat, dia mahu belajar mengaji dan mahu tahu cara soal berjemaah. Tapi sayangnya minatnya untuk beberapa bulan aja. Dia juga kata sukakan saya kerana berpakaian sopan berbaju kurung dan bertudung. Tetapi yang sebenarnya dia lebih minat dengan wanita berpakaian terdedah. Suka pulang lewat malam dengan pelbagai alasan.

‘‘Bila selalu balik lewat hubungan kami semakin dingin, dan lepas dapat anak lebih renggang lagi, ditambah dengan perangainya yang panas baran. Apa yang menyakitkan hati seks menjadi alasannya. Sebabnya video lucah menjadi kegemarannya di samping menonton dari internet. Lepas itu dia mula bandingkan saya dengan aksi wanita dalam video itu. Dan jadilah saya serba tak kena. Serba tak sedap, serba tak best dan serba tak cantik. Pendek kata macam-macamlah keburukan saya di matanya.

‘‘Kalau dulu dia suka saya berpakaian sopan, lepas kahwin mula suruh saya tukar penampilan, suruh bersolek, suruh ikut gaya wanita dalam video dan mula bandingkan saya dengan isteri kawan-kawannya lebih bergaya dan seksi. Lebih menyakitkan hati bila dia kata dia lebih senang tidur dengan wanita lain daripada saya. Terkejut saya, ketika itu saya mula melihat handphonenya, barulah saya nampak gambar wanita seksi dan mesej-mesej lucah menjadi simpanannya.

‘‘Lebih terkejut wanita itu antaranya kawan pejabatnya dan isteri orang bernama Kas. Bila tanya Hafiq dia kata apa masalah saya, tanya Kas katanya gambar itu Hafiq curi. Kerana fikirkan kawan saya ceritakan masalah saya dengan Hafiq pada Kas. Kas menunjukkan simpati. Lepas itu saya fikir saya boleh tidur lena. Tetapi tidak.

‘‘Saya mengadu pada ibu mertua, dia bersimpati, sayangnya dia takut dengan Hafiq, dan Hafiq tak hormatkan ibunya. Jadi masalah saya terus berkubur. Saya cuba tawan hati Hafiq dengan fantasi seksnya tetapi dia tak suka, katanya pelacur lebih baik daripada saya. Malah dia pandang saya dengan penuh kebencian.

‘‘Beberapa bulan kemudian Kas telefon saya beritahu dia hamil, jiwa saya kembali pulih, pasti dia tidak berhubung dengan Hafiq lagi.

‘‘Nak jadikan cerita satu hari saya ke bank, saya ditegur oleh isteri kawan Hafiq dia ucap tahniah kepada saya kerana Hafiq naik pangkat dan bertanya bila nak pindah. Saya terkejut kerana Hafiq tak beritahu. Bergenang air mata saya tak sangka sungguh sanggup Hafiq tinggalkan saya.

‘‘Bila saya tanya Hafiq dia mengaku nak pindah sebab nak ceraikan saya, sebenarnya perkataan cerai dah lama menjadi nyanyian Hafiq. Sebulan kemudian dia pindah ke negeri di bawah bayu. Tinggallah saya sendirian dengan anak. Lepas 3 bulan saya tanya keadaan saya. Dia kata saya bodoh kerana dia dah ceraikan saya melalui telefon.

‘‘Atas nasihat kawan saya pun daftarkan percerian dan dia pulang menguruskan kemudian. Kerana saya sering merayu tak mahu bercerai, Hafiq memberitahu saya hubungannya dengan isteri orang dalam 10 muka surat dari awal hingga akhir.

‘‘Katanya hubungannya dengan Kas lebih daripada kawan. Mereka selalu keluar dating walaupun pada waktu bertugas dengan pelbagai alasan. Malah mereka pernah sampai ke KL atas alasan tugas asalkan dapat tidur bersama. Buat hubungan dalam kereta jadi perkara biasa. Apa lagi habis waktu pejabat.

‘‘Hafiq juga mengaku bilik tidur kami menjadi tempat paling selesa untuk mereka berdua ketika saya keluar bekerja. Tak kira waktu walaupun pada bulan Ramadhan, maklum rumah kami kawasan baru belum ramai penghuninya. Ketika itu dia ambil peluang.

‘‘Paling mengeciwakan saya mengapa Kas sanggup menduakan suaminya, patutlah hubungan mereka menjadi-jadi ketika dia hamil. Agaknya supaya orang tak syak tentang hubungannya dengan suami orang, kerana dia hamil.
teringat

‘‘Pengakuan Hafiq membuatkan saya teringat kembali kepada suami Kas yang pendiam. Kini fahamlah saya bahawa suami Kas bukan baik tetapi telah diperbodohkan. Patutlah Kas berani keluar bila-bila suka tak kira siang atau malam.

‘‘Kini setelah bercerai saya dapat tukar kerja ke negeri sendiri, hidup saya lebih aman walaupun jiwa tak tenang. Kepada Hafiq dia boleh bergembira di dunia sekarang kerana di akhirat tak Nampak. Namun anda perlu ingat pembalasan Allah bukan sahaja di akhirat, malah kita boleh lihat semasa di dunia lagi. Itulah yang saya mahu lihat.

‘‘Dulu saya dengar cerita suami orang berkasihan dengan isteri orang. Tak sangka pulak benda itu terjadi dalam hidup saya. Pengajaran yang saya dapat, sayang suami biarlah berpada-pada, dan yang paling penting jangan terlalu percaya dan bergantung padanya. Kini, doa saya kalau ada jodoh biarlah yang baik, sebab saya percaya, orang baik akan mendapat jodoh yang baik, insya-Allah.’’ Demikian cerita Norshahreen tentang penderitaan yang ditanggungnya selama empat tahun.

Kepada pembaca DCCK tentu tahu slogan saya ‘‘sayangkan diri anda sendiri lebih banyak daripada sayang orang lain, jika anda mahu hidup lebih bahagia di dunia dan di akhirat kelak.

sumber : utusan

9:17 AM

Ibu bapa dorong kejayaan anak


Azzim Zahid bergambar kenangan bersama ibunya, Siti Zabidah Setia dan bapanya Azmi.


TUGAS mendidik anak bukan mudah kerana ia menuntut pengorbanan yang bukan sedikit daripada ibu bapa termasuk guru.

Ketika berada di rumah anak-anak diawasi ibu bapa dari segi tingkah laku, pembentukan sahsiah dan rohani, manakala di sekolah mereka diberi pendidikan formal daripada guru-guru yang terlatih.

Justeru kejayaan anak-anak ini tidak akan tercapai tanpa ada kerjasama guru dan ibu bapa.
Ini diakui sendiri oleh seorang ibu yang juga seorang guru, Siti Zabidah Setia, 51, yang berjaya mendorong lima anaknya belajar dan meraih kejayaan cemerlang sejak dari sekolah rendah lagi.

Saat paling manis apabila kelima-lima anaknya berjaya menerima anugerah tokoh pelajar sekolah rendah di mana yang terbaru diraih anak bongsunya, Azzim Zahid, 12.

Azzim yang memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), dipilih sebagai Tokoh Murid Cemerlang Keseluruhan pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Jelapang, Taman Meru, Ipoh, Perak, baru-baru ini.
Anugerah disampaikan Penolong Pengarah Sekolah Rendah, Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Gulam Muzammil PK Mohamed.

Turut menerima anugerah pada majlis tersebut Nurul Huda Aiman Zulqarnain bagai Tokoh Kurikulum yang juga memperoleh 5A dan Mohamad Syamil Shafie (Tokoh Sahsiah) mencipta keputusan sama, manakala Ahmad Khairul Amirin Ahmad Khairi (Tokoh Kokurikulum) memperoleh 4A1B.
Siti Zabidah yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rapat Setia berkata, beliau mengamalkan sikap adil, tegas dan berlembut ketika perlu apabila mendidik kelima-lima anaknya.
"Saya tegas dalam menentukan anak-anak tidak melanggar disiplin ketika berada di rumah dan berlembut apabila menyuruh mereka melakukan sesuatu," katanya

Beliau sentiasa memupuk semangat membaca di kalangan mereka seawal umur tiga atau empat tahun.
Kelima-lima anaknya sudah boleh membaca, menulis dan mengira matematik mudah sebelum menjejakkan kaki ke darjah satu sekolah rendah.

Mereka juga sering didedahkan dengan kegiatan pertandingan melukis untuk menguji bakat masing-masing di samping mendidik keberanian mereka berhadapan dengan khalayak.
Anak-anaknya sering dibawa ke majlis pertandingan sajak dan syarahan di peringkat sekolah menengah sehingga mereka boleh meniru gaya pelajar terbabit ketika pulang ke rumah.
"Secara kebetulan saya ketika itu mengajar subjek Bahasa Melayu dan sering membawa pelajar bertanding sehingga ke peringkat negeri," katanya.

Sementara itu Gulam Muzammil berkata, ibu bapa mesti menjadikan pendidikan anak sebagai agenda utama dalam kehidupan harian keluarga masing-masing.
Ibu bapa haruslah berkorban tenaga dan wang ringgit bagi memastikan anak mereka menerima pelajaran, kemahiran dan pendidikan rohani yang sempurna.
Langkah ini katanya, mampu menyediakan anak-anak yang sanggup bersaing untuk menempah kejayaan cemerlang.

Menurutnya, dunia tanpa sempadan memerlukan generasi baru yang mempunyai kecemerlangan luar biasa untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Beliau yakin ibu bapa dan guru yang mempunyai semangat sentiasa berusaha dan ada keinginan untuk berjaya dapat melahirkan anak didik yang cemerlang.

sumber : utusan

10:00 AM

Kes isteri curang makin membimbangkan



NAMA saya Muna, suami saya Hisham. Perkahwinan kami pada 2008 atas dasar suka sama suka. Bahagia, dia seorang suami yang baik, penyayang dan cukup sempurna. Silapnya di sini adalah, saya kerana tidak tahan dugaan ketika berjauhan. Sejak mula kami menikah memang sudah duduk berjauhan.
Suami bekerja di Kuala Lumpur sementara saya di Sabah. Memanglah hidup saya tidak sama seperti isteri-isteri lain, ada suami datang menjemput, bila balik rumah boleh duduk sama-sama dan berbual. Saya tidak lalui itu semua, setiap hari saya berseorangan, hanya telefon yang menjadi pengantara.

Setahun berlalu, mula timbul rasa bosan tinggal berseorangan dan sunyi. Saya cuba meminta tukar ke Kuala Lumpur tapi tidak berjaya kerana tidak ada kekosongan. Terus juga berjauhan, masa yang banyak terluang saya habiskan bersama kawan-kawan, keluar minum dan melepak di kafe. Bila sudah selalu keluar bersama, akhirnya saya tercerita juga tentang masalah rumah tangga dan kesunyian.

Rupa-rupanya itulah kesilapan besar yang telah saya lakukan dan saya berasa sangat menyesal.
Ini kerana kawan baik saya itu seorang lelaki bujang. Bila dengar cerita saya itu, dia mula menaruh simpati dan selalu menemani saya, menjadi pendengar setia. Bila selalu bersama, timbul rasa sayang hingga membawa kepada keterlanjuran. Waktu itu tanpa saya sedari rupanya saya sudah mengandung enam minggu.
Ketika itu saya rasa sangat bersalah kerana menduakan suami sedangkan dia seorang yang baik. Saya menangis kesal, tapi semuanya sudah terlewat. Bila dapat tahu mengandung, saya mula menjauhkan diri. Saya rasa inilah titik bahawa saya harus menghentikan semuanya, tapi saya sering saja tewas.

Ketika kandungan berusia lima bulan, saya ditukarkan ke Kuala Lumpur. Saya rasa lega kerana berjaya melepaskan diri daripada terus membuat benda tidak senonoh. Duduk di samping suami memang suatu yang amat membahagiakan.

Namun selepas dua bulan hidup sebumbung, perangai suami berubah sangat, jarang balik ke rumah dan sering marah-marah. Saya bertambah sedih apabila suami mengaku ada menjalin hubungan dengan seorang perempuan yang baru dua bulan dikenali.

Dia pulang ke rumah pun hanya kerana rasa kasihnya pada saya yang sedang sarat mengandung. Apabila matahari jatuh, perasaannya pada saya berubah menjadi benci untuk mengelakkan dari terus memarahi saya dia lebih sanggup tidur di pejabat.

Bersyukur

Apabila dirujuk kepada ustaz, rupa-rupanya suami saya telah diberi makan benda kotor oleh perempuan yang baru dikenali itu bertujuan untuk membodohkannya. Alhamdulillah, saya masih bersyukur kerana masih ada satu titik putih di dalam hati suami untuk merasa belas kepada saya. Suami meminta saya pulang ke kampung halaman sementara dia berusaha untuk mengubati dirinya.

Allah Maha Mengetahui, saya percaya inilah balasan-Nya di atas perbuatan curang selama ini. Suami tidak tahu pun apa yang saya lakukan, dia kata apa yang saya lakukan tanpa pengetahuannya, walau sebesar mana pun salah saya dia sudah ampunkan dan dia tidak mahu tahu apa itu.
Sekarang saya yang rasa bagaimana sakitnya bila suami menduakan saya. Tuhan itu Maha Adil, saya perlu jalani 'hukuman-Nya' ini.

APA yang anda baca sebentar tadi adalah pengakuan seorang isteri curang sewaktu ditemu bual oleh wartawan majalah Al Islam, baru-baru ini. Selain Muna, dua orang lagi wanita turut tampil membuat pengakuan serupa.

Apakah yang sedang berlaku? Adakah kini sedang berlaku trend curang di kalangan isteri, supaya mereka kelihatan setaraf dengan suami, atau lebih tepat lagi lelaki, yang sudah tidak pelik lagi dengan sikap curangnya itu?

Sememangnya sejak kebelakangan ini sudah beberapa kali media massa menyiarkan kes isteri curang. Antaranya, pada 24 September 2009, apabila seorang wanita ditangkap pegawai Jabatan Agama Islam Perlis pada hari jadinya yang ke 31, kerana disyaki berkhalwat. Apa yang menyedihkan, penangkapan ibu yang mempunyai dua orang anak itu turut disertai oleh suaminya, dan suaminya itu pula telah menyediakan kek istimewa untuk si isteri tadi.

Sebulan kemudian, di Kajang pada 25 Oktober 2009, seorang ibu berusia 37 tahun dan mempunyai lima anak pula telah ditangkap oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor kerana disyaki berkhalwat. Lelaki yang disyaki menjadi pasangannya berusia 31 tahun.

Pada 3 Disember 2009 pula, media massa tempatan menyiarkan pula kisah seorang isteri yang didakwa telah meninggalkan suami yang baru dua minggu dikahwininya. Sebelum meninggalkan suaminya pada dinihari 6 November lalu, wanita berusia 20 tahun itu didakwa asyik melayan Sistem Pesanan Ringkas (SMS), hatta semasa sedang bersanding sekali pun. Berita-berita susulan kemudiannya lebih 'gempar'. Isteri muda ini dikatakan telah ditangkap khalwat.

Itu kes-kes yang dilaporkan oleh media. Bagaimana pula yang tidak dilaporkan?
Persoalannya sekali lagi, adakah curang kini menjadi satu trend? Apakah pandangan Islam dalam isu curang? Dan, apa pula peranan kerajaan, khususnya Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani gejala tersebut?
Dapatkan majalah Al Islam keluaran Januari 2010 untuk mengetahui jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

sumber : utusan