9:28 AM

Sukar jaga suami aktif

HIDUP tanpa suami terlalu sukar bagi wanita yang pernah hidup berumah tangga. Pun begitu masih terdapat sebahagian daripada mereka yang berjiwa kental dan tabah menjalani kehidupan sehingga berjaya mendidik anak-anak menjadi insan yang dikagumi.

Tidak salah untuk mencari pengganti asalkan jangan mengganggu kebahagiaan orang lain. Inilah kisah yang saya paparkan minggu ini, luahan hati seorang isteri yang terlalu baik sehingga orang ketiga mengambil kesempatan terhadap suaminya.

Mungkin Halimah ( bukan nama sebenar ) seorang isteri yang terlalu 'sporting' maka suami mengambil kesempatan untuk berbuat apa yang dia suka. Ikuti kisah yang dialami Hamilah.

"Ikhlas saya katakan memang sukar untuk mendidik anak-anak era siber dan lebih sukar lagi mengawasi pergerakan suami yang tergolong dalam kategori lelaki paling sibuk atau aktif dengan kerja-kerja kebajikan.
"Disebabkan kesibukan itu, maka berbagai-bagai golongan insan datang untuk berjumpa dan mengadu hal atau meminta bantuan.

"Rumah saya menjadi bagaikan pesta tidak kira siang atau malam tetapi saya menyambut mereka dengan senang hati. Segala pertolongan yang mereka hajati Insya-Allah akan cuba diberi perhatian.
"Buat baik berpada-pada dan buat jahat jangan sekali, itu pepatah yang terkadang kita terlupa akan maksudnya.

"Maka tercatatlah kisah ya g ingin saya kongsi bersama pembaca yang setia di ruangan ini. Saya seorang isteri yang 'sporting' dan tidak pernah ada perasaan syak atau buruk sangka terhadap suami.
"Ke mana sahaja suami pergi dan jam berapa dia pulang saya tidak pernah memikirkan perkara yang negatif malah saya berazam menjadi isteri dan ibu mithali.

"Oleh kerana saya seorang suri rumah sepenuh masa, maka pergerakan saya terbatas dan segala info yang saya terima dari rakan-rakan mengenai hal-hal negatif berkaitan suami tetapi saya menyangkalnya sama sekali.
"Suatu pagi hari minggu, ketika sedang sibuk menyiapkan juadah untuk yang anak-anak akan pulang dari asrama, tiba-tiba jiran saya seorang ibu tunggal bernama Milah (bukan nama sebenar) meluru ke arah saya yang sedang memasak.

"Tanpa segan silu dia mengambil sebahagian masakan yang masih panas dan dibawanya pulang tanpa meminta izin daripada saya, tergamam saya ! .
"Mungkin dia terlupa untuk mengucapkan terima kasih atau sudah biasa dengan keluarga saya, maka saya diamkan sahaja hal itu.
"Satu hari lain, satu lagi kejadian berlaku. Disebabkan rumah saya sentiasa dikunjungi tetamu, maka pintu pun selalunya tidak berkunci.

"Ketika sedang berjalan ke dapur saya terdengar suara seorang perempuan sedang bercakap dengan suami saya di dalam kamar tidur kami.
"Kebetulan memang suami saya baru hendak melelapkan mata selepas pulang dari suatu majlis. Saya pergi mengintai, tergamam saya melihat Milah sedang mengadu hal kepada suami saya.
"Bayangkan, isteri mana yang tidak cemburu jika ada perempuan lain berbual dengan suami sendiri dalam kamar tidur. Tanpa segan silu dia berlalu setelah habis berbincang dengan suami saya. Saya dibuatnya seperti tunggul.

"Kejadian itu tidak berakhir di situ sahaja, banyak lagi cerita-cerita 'sensasi' yang saya dengar mengenai Milah yang teramat rapat dengan suami saya. Hati saya terguris juga jika selalu mendengar kisah-kisah yang kurang enak tentang suami dan Milah.
"Lalu saya menggunakan orang tengah untuk bertanyakan hal yang sebenar kepada suami, tentang hubungannya dengan Milah. Milah menafikannya begitu juga suami saya. Hai Milah… kalau tak ada angin mana mungkin pokok boleh bergoyang?

"Saya faham bagi seorang wanita yang hidup tanpa suami tentu akan berasa sunyi. Sukar bagi seorang wanita untuk menerima kehadiran orang ketiga dalam hidup mereka, jika ada pun mungkin segelintir sahaja.
"Keesokannya terjadilah perang mulut antara saya dengan suami gara-gara Milah telah mengadu kepadanya yang saya mencurigai hubungan mereka. Yang saya geram anak-anak pun dimarahi. Suami saya seorang yang penyabar tetapi tiba-tiba tidak dapat mengawal emosi.

"Entah apalah yang disampaikan Milah kepada suami saya sehingga dia 'naik hantu'. Itulah lelaki kalau percayakan perempuan atau buah hati, dia akan lupa segalanya.
"Saya sayangkan keluarga yang kami bina dan tidak mahu terjadi konflik. Doa dan bersabar adalah dua elemen yang saya jadikan sandaran untuk mempertahankan keutuhan hubungan kami sekeluarga. Biar pun badai yang melanda, keluarga saya akan utamakan.
"Tetapi Milah masih dengan perangainya yang sukar untuk difahami. Saya selalu berdoa dan berharap ada seseorang yang menasihati dia atau apa sahaja yang terbaik untuknya suatu hari nanti.

"Doa saya dimakbulkan Tuhan apabila Milah bertemu jodoh dengan seorang duda. Bagi menerapkan kesedaran kepada orang seperti Milah memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kata suami saya yang mula sedar akan kesilapannya tempoh hari.
"Mungkin pergaulan yang tidak terbatas semasa tugasan menjadi faktor utama untuk sesiapa pun mudah 'jatuh hati seperti mana yang suami saya alami.
"Saya bersyukur kerana masalah saya telah selesai. Suami juga meminta maaf dan berjanji akan membaiki keadaan dan menjadi ketua keluarga yang baik. Semoga Allah melindungi kehidupan kami di dunia dan akhirat," demikian kata Halimah menutup cerita.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai kisah yang berlaku kepada Halimah. Jelasnya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Halimah patut bersyukur kerana suaminya sudah sedar dan kembali ke pangkal jalan. Saya bangga dengan sikap sabar yang Halimah tunjukkan sepanjang krisis rumah tangganya.
Tidak rugi jika kita bersabar dan berdoa kerana segala doa yang baik itu insya-Allah Tuhan akan makbulkan. Jagalah keluarga dengan sebaik-baiknya dan jadilah isteri solehah dan ibu mithali. Serangkap pantun untuk renungan bersama.

Tinggi melangit luasnya angkasa,
Berkelip bintang di langit luas,
Bermohonlah pada Allah Yang Esa,
Bersandarlah pada Doa yang ikhlas.

Salam.

sumber : utusan

Saya amat tertarik dengan kisah ini, kesimpulan yang dapat saya buat adalah, walaupun sesibuk mana pun kerja kita janganlah di bawa sampai ke rumah. Rumah kita adalah milik kita yang personal dan bukan tempat awam. jadi jagalah rumah baik-baik.
Benarlah bahawa hanya kesabaran dan doa dapat memperbaiki keadaan. Dalam menangani rumahtangga, kita perlu bijak dan memikirkan kepentingan semua anggota keluarga. Memang banyak dugaan dan berfikirlah dengan waras.
Sesungguhnya masalah antara suami isteri boleh menyempitkan rezeki. jadi peliharalah sebaik mungkin agar jalan kita tidak tersekat-sekat.

0 comments: