2:35 PM

KAD BALDU BERWARNA MERAH

Tiba-tiba sahaja Arini berasa seperti disengat lebah. Kad baldu
berwarna merah hati dipegang kemas. Tinta berwarna emas dengan
kata-kata syahdu menusuk kalbu itu bagaikan sembilu menujah hati
Arini. Kad itu memang bertanda tangan suaminya. Malahan ada kata-kata
cinta sebagai menguatkan lagi puisi kasih yang sudah sedia tertera di
kad itu. Tapi kata-kata manis dan memujuk rayu itu, memang sah bukan
untuk Arini. Ia ditulis oleh suaminya untuk wanita lain. Lily buah
hatiku! Nama itu yang terpampang cantik di dalam kad tersebut.
Arini hanya mampu memegang kepalanya yang terasa berat. Dia tidak
sangka bahawa kad yang bukan ditujukan kepadanya itu, terjatuh juga ke
tangannya secara tidak sengaja. Tuhan memang sengaja menguji keutuhan
rumah tangganya.

Kalau bukan tulisan suaminya yang sudah hafal di otak Arini terpampang
di kad tersebut, mungkin Arini akan menyangkal prasangka buruk itu.
Sangat mustahil rasanya Dani bersikap seperti itu. Dani suami
penyayang. penuh romantis, sentiasa memuja dirinya dan amat
menyintainya dan dua puteri mereka yang sedang membesar. Rania, tujuh
tahun dan Dania lima tahun.

Kedua-dua puteri itu tumbuh sebagai anak gadis yang sihat dan jelita.
Malahan Dania seperti pinang dibelah dua dengan Arini. Wajah Dania
saling tak tumpah seperti wajah Arini 25 tahun dahulu. Ketika gamabar
Dania dan Arini dalam usia yang sama digandingkan, sukar untuk mencari
perbezaan di antara kedua-duanya. Agaknya kerana itulah Dania lebih
manja dengan Dani, manakala Rania lebih banyak bergayut dengan Arini.
Wajah Rania pula dikatakan salinan wajah ayahnya.

Tidak ada sesiapa pun yang tidak cemburukan kebahagiaan yang dicipta
oleh Arini dan Dani. Biarpun sudah lebih sepuluh tahun berumahtangga
namun rumahtangga mereka sentiasa hangat, segar dan mewangi. Malahan
di kalangan rakan-rakan ada yang secara terang-terangan mengakui
betapa irinya mereka melihat keutuhan Arini dan Dani memelihara cinta.
Arini pula dijadikan tempat merujuk jika ada rakan-rakan yang
berumahtangga menghadapi masalah.
Berbekalkan pengalaman sendiri, Arini biasanya mampu meringankan beban
orang lain dengan nasihat-nasihat atau pandangannya yang sederhana.

Tapi sekeping kad cinta berwarna merah hati di tangan Arini ini
memadam segala-galanya. Arini terpukul. Penipuan apakah yang sedang
dicipta oleh Dani? Dan sandiwara apakah yang sedang dilakonkan oleh
suaminya dalam rumahtangga mereka? Itulah yang membuatkan kepala Arini
semakin berdenyut.

Daging, ikan dan sayur yang baru dibawa dari pasar masih terletak di
atas meja. Arini sudah tidak berselera memilih menu kesukaan Dani.
Berpesan kepada Mak Tijah agar memasak apa saja dan jangan mengganggu
dirinya. Arini masuk ke bilik dan mengunci diri. Dia mahu berkurung di situ. Dia
mahu  mencari kekuatan diri. Dia juga mahu merangkai kata-kata yang
munasabah bagi berdepan dengan Dani sepulangnya dari pejabat nanti.
Malahan dia akan bertanya terus-terang siapa Lily di hatinya sekarang.
Arini mahu mengumpul segala kekuatan itu.

Kenangan tentang Lily kembali melayang di kotak fikiran Arini. Dia kenal
gadis yang hampir sebayanya itu ketika mereka masih remaja. Mereka
kerap bertemu kerana pejabat masing-masing agak berdekatan. Lily memang
cantik.
Wajahnya jadi idaman ramai lelaki malahan redup matanya turut memukau
Dani. Arini sedar betapa kagumnya Dani pada Lily ketika itu malahan
kedua-duanya sempat menjalin kasih untuk beberapa ketika. Entah kerana
apa, kasih itu terputus begitu sahaja.

Arini tiba-tiba jatuh ke pelukan Dani. Cinta tumbuh secara perlahan
dan tanpa sengaja. Namun ketika menyedari Dani menyukai Lily, Arini
tidak berkutik. Dia membiarkan Dani membuat pilihan. Tidak ada desakan
atau paksaan apabila Dani akhirnya memilih Arini dan melupakan Lily.
Kisah kasih itu tamat apabila Dani secara sah menyarungkan cincin ke
jari Arini dan mengakui bahawa di hatinya tidak ada gadis lain selain Arini.

Kata Dani, senyuman Arini lebih ikhlas, pandangan mata Arini yang
bulat, penuh dengan cahaya cinta dan raut wajah Arini begitu sejuk
untuk dia menaung kasih. Jangan sebut lagi nama Lily atau gadis-gadis
lain, semuanya sudah lenyap apabila dia pilih Arini.

Tapi kenapa hari ini ada kad cinta untuk Lily? Itulah yang membuatkan
Arini hampir pitam. Apa muslihat Dani. Sedangkan dia amat pasti, Lily
sudah  ada suami dan anak-anak. Dari kata-kata yang tertulis indah di situ,
Arini tahu bahawa kad cinta itu sudah kerap mendapat balasan. Arini
nekad. Dia tidak akan berlengah. Dia pasti akan bertanya pada Dani, apakah dia
juga kerap mendapat kad cinta dari Lily.

Hati Arini berserabut ketika dia mendengar deru enjin kereta Dani
petang itu. Namun sebagai wanita intelek, Arini akan bersikap
profesional. Dia ke bilik air menyegarkan wajah dan menyambut
kepulangan Dani seperti biasa.
Air limau sejuk kegemaran suaminya tetap dihidang tanpa kurang rasanya.
Senyuman Dani tetap dibalas. Malahan cium di dahi yang diberikan oleh
Dani, dibalas dengan mencium tangan suaminya itu seperti hari-hari
semalam.
Sedikitpun tidak ada perbuatannya yang luak, biarpun hatinya kini amat
rabak.

Malam itu selepas makan malam dan menjenguk kerja sekolah anak-anak,
Arini berbaring manja di dada Dani. Lelaki tampan itu seperti selalu
akan mengusap-usap lembut rambut wangi Arini. Wajah mulus Arini
ditatap ligat dan sebuah ciuman cinta diberikan seperti biasa. Tidak
sedikitpun ada yang berubah. Kalau bukan kerana kad merah itu, sampai
mati pun Arini tidak tahu, bahawa selain dirinya, Lily juga sedang
bergayut di hati Dani.

Arini mencari peluang untuk mendapatkan penjelasan. Tapi ia tidak mahu
dianggap cemburu buta. Kerana itu, Arini sengaja membawa
kenangan-kenangan lama dalam perbualan mereka, sehingga terkeluar
cerita tentang Lily. Namun bila nama itu disebut oleh Arini, wajah Dani
tidak berubah sedikitpun.
Seolah-olah tiada yang ganjil pada nama itu.

"Abang saya terjumpa sekeping kad untuk Lily. Apakah abang yang
menulis kad itu?"

Dani berhenti dari mengelus rambut Arini. Dia menatap wajah isterinya
tanpa kedip. "Kad untuk Lily. Bagaimana ada di tangan Rini?"

Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Arini kerana soalannya juga tidak
dijawab oleh Dani. "Abang, kita adalah orang-orang yang sudah dewasa.
Tak usah bohong, berterus-teranglah, kenapa abang menulis kad itu untuk Lily?'

Dani terdiam. Mungkin mencari kata-kata yang tepat untuk menjawab
pertanyaan Arini. Lama dia membisu. Arini tidak mendesak tetapi terus
menanti. Selepas mengeluh beberapa kali akhirnya Dani memberi kata
pasti.
"Memang kad itu untuk Lily dan abanglah penulisnya. Usah ditanya sebab
kenapa kad itu ditujukan untuk Lily, kerana abang memang tidak ada
jawapannya. Abang sendiri tidak tahu kenapa abang kembali menjalin
cinta bersamanya. Lily ada suami dan anak-anak. Abang juga milik Arini
dan dua anak kita. Namun percayalah, cinta kasih dan sayang abang
untuk Rini tak pernah luak malahan makin melimpah."

Arini ketawa mendengar penjelasan Dani. Dia bukan mentertawakan
kata-kata Dani tetapi mentertawakan dirinya. Betapa mudahnya Dani
membuat kenyataan.
Dia tidak tahu kenapa dia kembali bermain cinta dengan isteri orang.
Dan dia juga berani bertaruh bahawa hatinya tidak berubah walau seinci
pun untuk Arini, Rania dan Dania. Benarkah? Arini tahu semua itu
bohong belaka tetapi pengakuan Dani tentang cintanya adalah benar.

"Esok saya mahu berjumpa Lily." Begitu selamba Arini menyuarakan
hasratnya. Arini menarik selimut dan memejamkan mata. Dia sudah
bertanya dan
sudahpun mendapatkan jawapannya. Esok dia mahukan satu lagi kepastian.

Seawal pagi Arini sudah bangun. Selepas menyiapkan anak-anak untuk ke
sekolah dan menaikkan mereka ke dalam bas, Arini bersiap-siap. Di meja
makan, dia melayan Dani seperti biasa. Menuangkan kopi pekat kesukaan
Dani dan menyapukan roti bakar dengan mentega, sambil menanti telur
separuh masak siap untuk dikacau.

Dani hanya memandang Arini tanpa suara. Dia melihat ada kesungguhan
pada Arini terhadap kata-katanya semalam. Malahan Arini tidak
menunjukkanbahawa dia akan membatalkan hajatnya itu.

"Betul awak nak jumpa Lily hari ini."

Arini yang sedang sibuk mengadun telur separuh masak itu, berhenti
Sebentar dan memandang suaminya. "Apakah abang fikir saya sedang
main-main. Tidak!
Saya tidak main-main. Saya sedang mempertahankan rumah tangga saya dan
suami saya. Kalau abang mahu bersama-sama mempertahankannya, marilah
kita pergi bersama."

Dani terdiam tetapi dia juga tidak ada upaya untuk membantah. Dia
membisu sepanjang perjalanan menuju ke pejabat Lily. Lily pasti
terkejut kerana yang datang bukan Dani seorang tetapi bersama Arini.

Dari jauh Arini sudah dapat mengenali Lily. Biarpun sudah sedikit
berubah tetapi kecantikan Lily masih terserlah. Mungkin kerana duduk
di dalam kereta, Lily tidak sedar kehadiran Arini. Sebaliknya dia
sibuk menggenggam tangan Dani. Ketika Dani menunjukkan Arini, Lily
seperti terpempan, terkejut dan agak malu. Arini mendekati mereka
tanpa emosi. Tangan dihulur pada Lily dan disambut perlahan oleh
wanita itu. Sebelah tangan lagi, Arini
memegang kejap tangan suaminya. Dia seolah-olah memberitahu Lily, ini
suamiku. Hanya aku yang berhak memegangnya.

"Lily apa khabar. Tak sangka kita berjumpa lagi. Tapi berterus-terang
aku tidak suka pada pertemuan seperti ini. Dan kerana kita sudah
berjumpa, aku mahu perkenalkan padamu bahawa ini suamiku, Dani. Dia
milikku dan milik anak-anakku. Jangan ambil suamiku dan lupakan masa
silam kalian. Pusingkan kepalamu. Di rumahmu ada suami dan anak-anak
yang menanti teduh kasihmu.
Jangan mencari sinar pelangi, habis petang hilanglah ia. Sama ada Dani
atau Rafli suamimu, sama sahaja. Kedua-duanya lelaki yang boleh
memberikan cinta jika kau sendiri memberikan kasih seikhlas hatimu. Kenapa mencari
kebahagiaan di tempat lain sedangkan di rumah sendiri kau boleh
mencipta syurga jika kau mahu."

Lily diam terpaku. Dani memegang erat tangan Arini. Mungkin dia
sendiri tersedar di sebalik kata-kata yang ditujukan untuk Lily, ia
juga tersirat untuk dirinya.

"Pulanglah Lily... Jangan menganyam kasih di bumbung orang lain
sedangkan di bumbung rumahmu sendiri ada yang kesepian. Jika bumbung
kita bocor, sama-samalah kita baiki. Jangan tumpang teduh di tempat
lain."

"Lily aku tidak datang sebagai musuhmu, tapi aku datang untuk
Memberitahumu bahawa kau sudah tersalah jalan. Bahawa kau sudah
tersalah memimpin tangan suamiku. Sedangkan suami dan anak-anakmu terkapai-kapai mencari
di manakah tangan lembutmu. Sekarang jangan lagi pimpin tangan
suamiku. Dia sudah ada aku, Rania dan Dania. Tangan kami sudah penuh
di genggamannya. Kalau Selama ini dia keliru kerana memimpin tangannya, aku maafkan dia. Aku
juga maafkan kamu."

Arini memandang Dani. Perlahan dia bersuara. "Abang saya sudahpun
melakukan apa yang sepatutnya saya buat. Kalau abang rasa saya tersilap,
bimbinglah saya tapi jika abang rasa, abang mahu menyerahkan kad merah
ini pada Lily, saya akan pulang sendiri dan abang tidak mungkin dapat
memimpin tangan saya lagi."

Dani teleku. Kad merah yang dikeluarkan oleh Arini dari sampul merah
hati itu dipandangnya.

"Arini musnahkanlah kad itu. Abang tidak mahu
melihatnya lagi. Memandangnya, seperti abang memandang kekeliruan
sendiri. Pun begitu, kad merah inilah sebenarnya yang menyedarkan
abang bahawa abang sudah ada cinta sejati. Abang sudah ada Arini. Jika Arini tidak bertemu kad
itu, sudah pasti abang terus meniti jalan keliru ini."

Dani memimpin Arini ke kereta mereka. Sebelum itu dia menoleh pada
Lily.


"Maafkan aku kerana menyambut salammu dulu. Namun terima kasih kerana
sudi memberi ruang padaku untuk menikmati masa-masa silamku. Aku
terlupa masa itu sudah berlalu."



sumber : lepakk.com

9:45 AM

Lelaki kini lebih ‘bergantung’ dari berdikari



Oleh Feriz Omar

SEKITAR tahun 1982, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah melancarkan dasar “Ke Arah 70 Juta Penduduk”. Ketika pertemuan bulanan saya dengan beliau baru-baru ini, topik berkenaan sekali lagi diutarakannya. Dr. Mahathir menekankan bahawa objektif dasar ini adalah penting bagi meningkatkan lagi kekuatan produktiviti negara.

Namun hakikatnya, dasar tersebut adalah terlalu ke hadapan dan mustahil dicapai dalam tempoh singkat. Jumlah 70 juta penduduk Malaysia itu hanya mungkin tercapai pada tahun 2100 yakni hampir 100 tahun lagi!
Gara-gara itulah Malaysia terpaksa menggunakan 100 peratus jumlah penduduknya yang juga melibatkan 14 juta wanita.

Kini, wanita diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dan sekali gus juga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Jelas di sebalik kelembutan wanita, mereka telah berjaya melonjakkan ekonomi negara bersama-sama dengan kaum Adam.


Kaum Hawa Abad 21 Lebih Progresif

Di Kelantan misalnya, wanita dilihat penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui kegiatan perniagaan sedangkan golongan lelaki nampaknya lebih cenderung dalam aktiviti politik.
Contoh paling ketara adalah di menara gading. Statistik menunjukkan bilangan penuntut dari kaum Hawa mendominasi majoriti institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dalam sektor pertahanan pula, semakin ramai wanita mula memegang senjata dan menjadi polis serta ada yang menjadi juruterbang jet pejuang.
Entah ke mana perginya adik-adik lelaki kita? Yang kita tahu, kumpulan-kumpulan belia ini bagaikan lebih gemar bersenang-lenang dan terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat. Kalau tidak, masakan wujud samseng jalanan yang pernah dikenali sebagai mat rempit?

Jika ada yang cuba mempertikaikan perkara ini, sila semak rekod semasa dari pihak-pihak yang bertanggungjawab. Hampir 80 peratus penagih dadah juga adalah lelaki!
Fenomena semasa ini bagaikan suatu petanda bahawa kaum wanita telah dan akan lebih ramai terpelajar berbanding lelaki. Jika ini berterusan tidak mustahil suatu trend atau senario dominasi intelek boleh berlaku.
Jika suatu ketika dahulu, lelaki terlalu banyak mengadu tentang isteri-isteri mereka yang kurang pendidikan, sekarang terbalik pula keadaannya. Kaum Adam pula yang lebih banyak “bergantung” kepada isteri berbanding berdikari.

Sekiranya ini berlaku, jangan terkejut jika lelucon Cerekarama yang tidak pernah kita fikirkan seperti wanita menghalau suami mereka keluar rumah terjadi dan berleluasa.
Ya, ketawalah sekarang tetapi jangan fikir ini terlampau mustahil kalau golongan belia lelaki terus-terusan hanyut dalam arus ketidakmatangan dan tanpa kita mengawasinya!

Kuasa Sebenarnya di Tangan Koloni Yang Bekerja Lebih Keras

Situasi yang sama sebenarnya berlaku apabila pendatang asing lebih keras bekerja daripada penduduk negara tersebut. Mereka akhirnya akan membentuk suatu koloni yang lebih kuat dan mengambil alih penguasaan negara.

Sejarah telah berulang kali membuktikan apabila sesebuah negara maju dan bertamadun, rakyat akan mula malas dan menyerahkan urusan pertahanan negara kepada golongan pendatang. Senario menyerah senjata sebegini telah terbukti suatu faktor penyumbang kepada kejatuhan empayar kuno seperti Rom dan Sepanyol.
Demikianlah dalam situasi ini, sekiranya lelaki tidak gigih bekerja, mereka akan kehilangan kuasa pengaruh ke atas keluarga dan masyarakat sekeliling yang dipimpinnya. Memang benar sektor korporat dan institut pengajian tinggi belum dikuasai oleh kaum Hawa sepenuhnya.

Namun, jika kaum Adam selalu berfikir bahawa mereka adalah tuan atau ketua, asyik mencuri tulang dan sering menyerahkan tugas kepada orang lain, akhirnya kaum Adam akan menjadi terlalu malas untuk menghalang kaum Hawa.

Kaum Adam Pula Kenalah Gigih !

Perlu diingatkan lagi bahawa kaum lelaki mesti matang atas tanggungjawabnya di masa depan.
Ada hati dan usaha pasti boleh! Lihat sahaja, kaum wanita yang dahulu pernah menjadi jaguh di dapur, kini chef-chef di dapur adalah terdiri dari kaum lelaki. Justeru, sekiranya kaum Adam bekerja lebih keras daripada kaum Hawa, KDNK secara keseluruhannya pasti akan melonjak dengan lebih baik.
Namun dalam pada itu, kaum Hawa janganlah menjadi golongan terlampau sehingga hendak melanggar syariat seperti dalam isu Amina Wadud yang mengimamkan solat jemaah lelaki. Seperti Dr. Mahathir, saya juga bersetuju bahawa kaum wanita kelihatan begitu menjelikkan jika mereka mula melibatkan diri dalam sukan gusti!



FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Melayu Profesional dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

1:33 PM

Khasiat Surah Al-Kautsar

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik. Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-
1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya'allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5) Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.


3:20 PM

Tetapkan Matlamat, Fokus dan Usaha

Saya ingin berkongsi pengalaman hidup saya sendiri tentang kerjaya dan kepuasan diri. Saya juga pernah merasa bosan dan tidap puas hati dengan kerja yang saya lakukan pada masa itu. Saya tercari-cari apa yang saya inginkan dan mencuba untuk menjadi sesuatu yang saya impikan. Saya berusaha dan berusaha walaupun telah berkali-kali gagal. Namun saya tetap tidak berputus asa dan terus mencuba.

Pada suatu hari, saya telah bertanya dengan seseorang tentang apa yang telah saya lakukan ini. Mengapa saya merasa tidak puas hati dengan apa yang saya miliki sekarang?

Lantas rakan saya itu menjawab "tentang hati mila yang tak selesa lagi tu...memang adat jika kita ke tempat baru.

tetapi jika kita jelas dan spesifik dengan apa yang kita inginkan....segalanya akan kembali normal"
 
Saya membuat kesimpulan, fokus dan usahakan dengan apa sahaja yang kita ada sekarang. Kepuasan akan menjelma nanti.

Semenjak dari itu, saya telah menanam azam dalam hati saya untuk mensyukuri segala nikmat dan usahakan segala yang saya miliki dengan bersungguh-sungguh. Kejayaan itu bukanlah bermakna kita berada di atas sebagai orang yang berpangkat, tetapi kejayaan itu datang dengan pelbagai bentuk. Tekun dan fokus dengan apa yang kita ada, kelak kita pasti akan dapat apa sahaja yang kita inginkan. Yang pasti, sentiasa tetapkan matlamat anda.